Penunjuk perasaan membanjiri jalanan ibu kota Algeria di sini hari ini susulan keputusan Presiden Abdelaziz Bouteflika untuk tidak bertanding semula yang dibimbangi komplot melanjutkan lagi pemerintahan dua dekadnya.

Dalam satu pengumuman mengejutkan semalam, pemimpin uzur berusia 82 tahun itu berkata, beliau tidak akan bertanding untuk penggal kelima dan membatalkan pilihan raya presiden bulan depan.

Selepas perhimpunan keraian awal, ribuan pelajar menyertai bantahan baharu di ibu kota hari ini, menuduh Abdelaziz melakukan ‘muslihat.’

“Pelajar menolak lanjutan mandat keempat,” laung mereka di sebuah dataran di luar pejabat pos utama di sini.

Enam van polis diparkir di sekitar Place de la Grande Poste, yang menjadi pusat bantahan menuntut Abdelaziz meletak jawatan.

“Abdelaziz tiada hak memanjangkan mandatnya tanpa kelulusan rakyat,” kata pelajar jurusan geologi, Riad Labed, 22.

Pelajar turut mengadakan bantahan di bandar kedua Oran, kata media tempatan sementara di bandar timur laut Annaba, mereka bersedia untuk tindakan seterusnya.

Presiden mengumumkan semalam, satu ‘persidangan kebangsaan’ akan menetapkan tarikh baharu pilihan raya yang tidak disertainya.

“Tidak akan ada penggal kelima dan tiada pilihan raya presiden pada 18 April,” katanya dalam mesej dilaporkan agensi berita rasmi APS. – AFP