Mohd Asri sekali lagi dilantik sebagai Mufti Negeri Perlis berkuatkuasa 1 Februari 2015 bagi menggantikan Dr Juanda Jaya yang tamat perkhidmatannya pada tahun lalu. Mohd Asri yang memiliki ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam Pendedahan Pengetahuan dan Warisan (Al-Quran dan Sunah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebelum ini pernah dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Dr Juanda Jaya. -- fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

KANGAR 3 Jan. – Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengingatkan semua pihak supaya tidak tergesa-gesa membuat andaian dalam soal pemecatan seramai 25 orang imam kariah di sekitar negeri ini, kelmarin.

Katanya, hal demikian penting supaya mereka tidak terjerumus dalam kancah fitnah sesama Islam.

Beliau menegaskan bahawa urusan pelantikan imam dan penyambungan elaun mereka adalah terletak di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Ujarnya, JAIPs pula tidak mempunyai kuasa penuh untuk melantik atau tidak menyambung kontrak jawatan kuasa kariah masjid, melainkan dengan kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang secara tidak langsung diletakkan di bawah istana.

“Hanya dengan titah dan perkenan istana sahaja hal-hal (pelantikan dan pemecatan imam) itu boleh dilakukan. Maka, segala ulasan yang melampau berada di bawah undang-undang ini,” katanya dalam status Facebooknya di sini, hari ini.

Sebuah portal dalam talian hari ini melaporkan seramai 25 orang imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat, berkuat kuasa Selasa lalu.

Surat yang dikeluarkan JAIPs bertarikh 31 Disember 2018 itu, dilihat seakan-akan dibuat secara tergesa-gesa tanpa menyatakan sebab pemecatan bermula 1 Januari 2019, sehingga tiada nombor rujukan surat diisi dalam kurungan pada bahagian atas surat berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Asri turut mempersoalkan dakwaan sesetengah pihak bahawa kesemua imam terbabit dipecat hanya kerana tidak mengikut arahan yang dikeluarkan oleh JAIPs.

Soalnya, adakah benar JAIPs memecat beberapa imam itu kerana mereka membaca doa qunut atau bismillah kuat di dalam solat.

“Atau, disebabkan mereka sudah sampai tahap umur atau menggunakan masjid untuk mainan politik kepartian.

“Atau pun kerana ‘ponteng’ tugas selain menjadikan masjid markas parti atau ada masalah lain?

“Persoalannya, kenapa pula ada imam-imam yang benar-benar mengikut garis panduan MAIPs pun ditamatkan?” katanya.

Kata beliau lagi, semua persoalan berkenaan akan diulasnya dalam satu kuliah khas malam ini di Masjid Alwi, di sini. – Utusan Online