PUTRAJAYA – Kepimpinan dan wakil Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) hari ini bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kebimbangan persatuan itu berkaitan isu harga minyak.

Pertemuan Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz dan empat wakil persatuan itu bersama Dr Mahathir itu berlangsung kira-kira 45 minit di Perdana Putra di sini hari ini sebelum Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Khairul Annuar yang ditemui pemberita selepas pertemuan itu berkata perjumpaan itu telah membincangkan cadangan dan kebimbangan persatuan itu berhubung isu harga minyak.

“Kita membincangkan semua cadangan kami dan menyatakan kekhuatiran. Beliau (Dr Mahathir) nampaknya sangat memahami,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan akan membuat keputusan mengenai harga petrol dan diesel dalam mesyuarat Kabinet hari ini selepas mendapatkan pandangan daripada pembeli dan pengusaha stesen minyak.

“Kami tidak sabar menunggu sehingga keputusan dibuat oleh Kabinet. Biarkan Kabinet memutuskan dulu, “kata Khairul Annuar.

Pada 31 Disember lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan untuk beberapa hari pada RM2.50 seliter bagi RON97, RM2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

Lim berkata, penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baharu ini.

Pada 23 Disember lepas, Lim mengumumkan bahawa mulai 1 Januari, 2019, harga bahan api termasuk RON 95, akan mula diapungkan secara mingguan.

Berikutan itu, PDAM menentang keputusan kerajaan mengapungkan dan menetapkan harga produk petroleum secara mingguan.

PDAM juga meminta kerajaan menaikkan komisen pengusaha stesen minyak bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung. – Bernama