Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghalang deraf resolusi yang disediakan Amerika Syarikat (AS) untuk mengecam Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) kerana melancarkan roket ke arah Israel dan menghasut keganasan.

Lapan puluh tujuh anggota perhimpunan agung PBB (UNGA) menolak deraf itu, 57 menentang dan 33 berkecuali. Deraf itu memerlukan persetujuan dua pertiga anggota untuk diluluskan.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley mengutuk Hamas sebelum PBB memulakan undian.

Tidak mempedulikan sekatan 11 tahun yang dikenakan rejim pengganas Israel ke atas Semenanjung Gaza, Haley menyalahkan Hamas kerana krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Sementara itu, walaupun, mempunyai hubungan rapat dengan Washington, Duta Arab Saudi ke PBB, Abdullah Al-Mouallimi menggesa anggota pertubuhan itu menolak cadangan AS.

Bercakap bagi pihak Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Yaman, Abdullah mengecam serangan roket ke arah orang awam Israel, tetapi berkata, resolusi dicadangkan AS bertujuan melindungi keganasan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

“Empat negara ini akan menentang resolusi AS. Ia bertujuan melindungi keganasan Israel ke atas penduduk Palestin, selain mengehadkan peluang mengadakan proses damai,” katanya. – ISMAWeb