Palestin memenangi sokongan mengetuai blok terbesar negara membangun di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), New York, semalam, menaikkan profil mereka dalam badan dunia itu walaupun mendapat bantahan Amerika Syarikat (AS).

Perhimpunan Agung mengundi secara besar-besaran untuk memberi Palestin, negara yang diberi status pemerhati di badan dunia itu, hak sementara bertindak sebagai pengerusi Kumpulan 77 (G77) negara bersama China, blok yang bertambah kepada 134 negara di PBB.

Satu resolusi didraf Mesir disokong dengan undian 146 berbalas tiga menentang manakala 15 berkecuali. AS, Israel dan Australia adalah tiga negara yang menentang langkah itu dalam perhimpunan 193 negara.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley menyifatkan keputusan itu sebagai ‘kesilapan PBB,’ mengingatkan bahawa Palestin bukan negara anggota PBB atau sebuah negara sama sekali dan tidak seharusnya diberi keistimewaan yang diberi kepada negara anggota penuh.

“Kesilapan PBB pada hari ini melemahkan prospek damai dengan menggalakkan ilusi dipegang sesetengah pemimpin Palestin bahawa mereka boleh melanjutkan matlamat mereka tanpa rundingan damai langsung,” kata Haley dalam satu kenyataan.

Keputusan itu tidak mengejutkan oleh kerana G77 bulan lalu bersetuju memberi kerusi pengerusi kepada Palestin dan dengan mudah meraih sokongan mencukupi dalam Perhimpunan Agung.

Resolusi itu memberi Palestin, yang mengambil alih tanggungjawab pengerusi selama setahun bermula Januari depan, hak tambahan seperti kuasa mengemukakan cadangan bagi pihak G77 dan permohonan ia diletakkan dalam undian.

Langkah itu, bagaimanapun tidak mengubah status Palestin, dianggap negara pemerhati bukan anggota di PBB tanpa hak mengundi dalam Perhimpunan Agung.

“Hanya negara anggota PBB dengan pengiktirafan penuh layak bercakap dan bertindak bagi pihak kumpulan sesebuah negara,” kata Timbalan Duta AS ke PBB, Jonathan Cohen dalam perhimpunan sebelum undian.

Mengambil alih peluang itu, Duta Palestin, Riyad Mansour memberi jaminan untuk berusaha mempertahankan kepentingan G77 dan bekerja dengan semua rakan kongsi.

G77 dan China berpengaruh dalam isu kewangan dalam perhimpunan berkenaan dan secara berkesan dalam mengembangkan agenda mereka sebagai blok terbesar.