Sekurang-kurangnya 36 negara, termasuk 28 anggota Kesatuan Eropah (EU), menandatangani satu kenyataan mengkritik rekod hak asasi manusia Arab Saudi di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR).

Kenyataan yang dibaca Duta Iceland ke PBB, Harald Aspelund menyatakan, negara-negara berkenaan melahirkan kebimbangan berkaitan isu penderaan di Arab Saudi dan menuntut pembelaan pembunuhan wartawan terkenal, Jamal Kashoggi.

“Keadaan kematian Khashoggi menegaskan, adanya keperluan untuk melindungi wartawan serta menegakkan hak kebebasan bersuara di seluruh dunia. Siasatan terhadap pembunuhan itu perlu dijalankan secara menyeluruh, bebas, adil dan telus. Kesemua yang bertanggungjawab perlu dihukum.

“Kami meminta Arab Saudi untuk mengambil langkah-langkah bermakna bagi memastikan orang awam, termasuk pembela hak asasi manusia dan wartawan bebas untuk menyuarakan pandangan mereka, tanpa rasa takut terhadap tindakan yang akan diambil ” kata kenyataan dibacakan Harald.

Khashoggi – pengkritik Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman – dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu, sehingga mencetuskan kekecohan antarabangsa.

Selepas membuat banyak kenyataan bertentangan mengenai nasib Khashoggi, Riyadh mengaku bahawa wartawan itu telah dibunuh.

Riyadh kemudian mengesahkan Khashoggi terbunuh dalam pergaduhan dengan individu yang menemuinya di dalam pejabat konsulat itu dan berkata, 18 suspek kes berkenaan ditangkap, manakala seorang pegawai tertinggi perisikan berpangkat jeneral dipecat.

Beberapa anggota pasukan pembunuh itu adalah mereka yang rapat dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.

Al Jazeera sebelum ini melaporkan, mayat Khashoggi mungkin dibakar dalam relau besar di kediaman konsulat Arab Saudi di Istanbul. – Agensi