PAS mempersoalkan tindakan kerajaan menyerahkan peruntukan yang tidak terkandung dalam Belanjawan 2019 Pakatan Harapan (PH) kepada sebuah kolej swasta, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan membidas sikap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berdiam diri selepas gambar penyampaian peruntukan kepada Kolej Universiti New Era dan Sekolah Menengah Persendirian Cina tular di media sosial.

Beliau berkata, berdasarkan belanjawan tahun ini, sebanyak RM12 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina.

“Namun, bagaimana pula dengan Kolej Universiti New Era? Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, peruntukan tersebut adalah peruntukan khas daripada Menteri Kewangan (bukan daripada Kementerian Pendidikan).

“Soalnya, mengapa ia diberikan dan dari mana peruntukan tersebut? ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa peruntukan khas yang diberikan kepada Kolej Universiti New Era adalah daripada Kementerian Kewangan sendiri.

“Selaku institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, peruntukan yang diberikan adalah peruntukan khas Kementerian Kewangan yang diberi secara terus oleh Kementerian Kewangan kepada kolej itu dan tidak melalui Kementerian Pendidikan,” kata KPM.

Serentak itu, Nasrudin mendesak Menteri Kewangan tampil memberikan penjelasan untuk menjustifikasikan pemberian peruntukan kepada kolej swasta yang ditubuhkan oleh Dong Jiao Zong sejak 1994 itu. – IsmaWeb