Keputusan kerajaan menghalang atlet rejim Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak pada Ogos depan, adalah tepat dan selaras dengan dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara haram itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan kerajaan memboikot dan mengasingkan Israel adalah usaha paling minimum yang boleh diambil sebagai signal menentang dan menolak kezaliman regim Zionis yang tidak berperikemanusian.

Negara haram itu juga, tegasnya, wajar dikutuk oleh setiap negara yang bertamadun.

“PAS menyokong penuh pendirian tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membenarkan atlet Israel memasuki Malaysia bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak.

“PAS telah dan akan terus menggerakkan usaha-usaha untuk mengembalikan kebebasan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis Israel dengan penglibatan semua pihak.

“Seterusnya menyeru pemimpin negara umat Islam lain untuk menunjukkan ketegasan yang sama seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Atlet renang paralimpik dari lebih 70 negara dijangka menyertai pusingan kelayakan Tokyo Paralimpik 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos akan datang.

Khamis lalu, Dr Mahathir mengumumkan keputusan kerajaan menolak permohonan visa pasukan Israel yang ingin menyertai kejuaraan World Para Swimming 2019.

“Kalau mereka (pasukan Israel) tetap datang, ia merupakan satu pelanggaran (undang-undang).

“Kalau mereka (IPC) mahu mencabut hak Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara tersebut, mereka boleh berbuat demikian,” katanya.