DEWAN Rakyat mencatat sejarah tersendiri apabila tiga beranak iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka, Nurul Izzah akan berada serentak dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 bermula Isnin ini.

Ia susulan Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu, memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini dan akan mengangkat sumpah pada Isnin.

Kewujudan ‘legasi Anwar’ di Dewan Rakyat ini dijangka akan menghangatkan lagi persidangan dewan memandangkan Dr Wan Azizah ketika ini adalah Timbalan Perdana Menteri dan turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sementara itu, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Anwar memenangi PRK Parlimen Port Dickson selepas memperoleh 31,016 undi dengan menewaskan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas memperoleh 4,230 undi sementara bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.

Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Ia adalah sebahagian daripada pelan PH bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Wan Azizah yang bertanding di Parlimen Pandan mendapat 101,319 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Leong Kok Wee (12,190 undi), calon PAS, Mohamed Sukri Omar (8,336 undi), calon Bebas, Jenice Lee Ying Ha (442 undi) dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (73 undi).

Manakala Nurul Izzah yang menang di Parlimen Permatang Pauh pula memperoleh 35,534 menewaskan calon BN, Mohd Zaidi Mohd Said (19,866 undi) dan calon PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden (14,428 undi).

– Harian Metro