Ibu negara Perancis akan menarik balik gelaran anugerah kehormat berkaitan kebebasan yang diberikan kepada ikon prodemokrasi, Aug San Suu Kyi sebagai respons terhadap jenayah yang dilakukan ke atas etnik Islam Rohingya.

Datuk Bandar, Anne Hidalgo memutuskan untuk membatalkan penghormatan itu kerana pelbagai pelanggaran hak asasi manusia yang direkodkan di Myanmar dan keganasan serta penindasan terhadap penduduk minoriti terbabit.

Pejabat datuk bandar Paris dalam satu kenyataan memaklumkan mereka telah menghantar surat kepada Suu Kyi untuk menyuarakan kebimbangan tentang perkara tersebut dan menggesa semua pihak menghormati hak penduduk Rohingya, namun tiada sebarang maklum balas diberikan.

Pengumuman yang mengikut keputusan sama dibuat Edinburgh, bandar Glasgow dan bandar Oxford itu akan menjadikan penerima Hadiah Nobel Keamanan itu sebagai individu pertama kehilangan anugerah simbolik tersebut.

Sebelum ini, Penasihat Negara Myanmar itu juga dilucutkan kerakyatan kehormat Kanada dan Anugerah Duta Hati Nurani Amnesty International berikutan beliau mengambil pendirian berdiam diri atas kekejaman dilakukan ke atas etnik Rohingya. – AFP