Kedudukan lampu-lampu di bangunan Grace Residence, Jelutong di Pulau Pinang tidak lagi mempamerkan lambang salib ketika dihidupkan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, gambar bangunan itu semalam tidak mempamerkan lambang salib, berbanding gambar sebelumnya yang mencetuskan kontroversi.

“Saya terima gambar yang dihantar kepada saya semalam, menunjukkan cuma di car park (tempat letak kereta) lampu dinyalakan, tidak nampak lagi lah bahagian-bahagian yang lain.

“Saya tak terima lagi laporan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, tetapi gambar yang dihantar kepada saya memang berbeza dengan apa yang saya tunjuk pada hari Sabtu.

“Hari Sabtu masih ada tapi semalam sudah tidak ada,” katanya kepada pemberita ketika mengulas isu pancaran cahaya lampu di kediaman berkenaan yang menunjukkan lambang salib ketika dinyalakan pada waktu malam. Video kenyataan beliau disiarkan dalam laman Facebook Buletin Mutiara, hari ini.

Pada masa sama, Chow berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada pemaju, Nova Mulia Development Sdn Bhd mengenai isu itu.

Minggu lalu, gambar tular di media sosial, menunjukkan lambang salib pada sebuah bangunan di tengah-tengah kawasan Jelutong mengundang kegelisahan umat Islam.

Lambang salib berkenaan bukan berbentuk fizikal, namun dalam pancaran cahaya, dan lebih jelas kelihatan dari jauh pada waktu malam, kerana dipasang di bangunan tinggi.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa pihak berkuasa tempatan mengarahkan pemaju mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan Grace Residence, Jelutong supaya ia tidak menyerupai lambang salib apabila dilihat dari jauh.

Beliau berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara cermat dan bijaksana mengikut saluran undang-undang sedia ada.