Kuala Lumpur: Pameran Hartanah Myrumah anjuran kumpulan akhbar terbesar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) menjadi platform untuk orang ramai terutama pembeli rumah pertama memiliki kediaman impian mereka dengan harga berpatutan.

Penganjuran Pameran Hartanah MyRumah yang bakal berlangsung esok hingga Ahad ini di Amanjaya Mall, Sungai Petani Kedah menyasarkan golongan berpendapatan B40, M40 dan T20 membeli rumah.

Amanjaya Mall menjadi tempat kedua daripada empat lokasi penganjuran MyRumah tahun ini yang menawarkan beberapa projek hartanah hangat di kawasan utara.

Sebagai platform bersepadu kepada pembeli dan pelabur hartanah, MyRumah 2018 yang masuk tahun ketiga penganjurannya menawarkan pelbagai jenis kediaman bernilai lebih RM1 bilion.

Antara pemaju terbabit dalam pameran MyRumah 2018 di Sungai Petani minggu ini adalah Hunza Properties Bhd, Oriental Investment Bhd (OIB), OSK Properties Sdn Bhd, Plenitude Heights Sdn Bhd, Sepakat Mewah Sdn Bhd, SPNB Aspirasi Sdn Bhd dan UDA Land (North) Sdn Bhd.

Selain itu, beberapa institusi berkaitan lain turut menyertai pameran MyRumah 2018 di Sungai Petani kali ini seperti Amanah Raya Bhd, Bank Muamalat dan Takaful Ikhlas.

MyRumah menawarkan bukan saja jualan hartanah berpatutan, malah menyediakan maklumat dan pandangan utama mengenai perkara yang perlu dan tidak perlu dalam membeli hartanah termasuk maklumat dan tip berkaitan proses pembelian hartanah, isu mengenai pinjaman, gadai janji, insurans dan pemeriksaan kredit.

Pembeli dan pelabur berpeluang bertemu dan berkongsi dengan pakar industri dalam bidang berkaitan hartanah yang berkaitan.

Bagi pengunjung bertuah, mereka berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah selain cenderamata istimewa kepada mereka yang berjaya mengumpul cap khas di setiap gerai pameran.

Pada penganjuran MyRumah 2017 lalu sehingga suku pertama tahun ini, 73 unit hartanah terjual dengan nilai lebih RM36 juta.

Siri pameran hartanah di Shah Alam baru-baru ini menarik lebih 10,000 pengunjung.

Kemasukan pameran MyRumah selama tiga hari itu adalah percuma.

sumber – HarianMetro