Pakistan menahan sebuah kapal selam India daripada memasuki perairannya, kata tentera laut hari ini, ketika ketegangan kekal tinggi antara seteru kuasa nuklear itu.

Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas pertempuran udara jarang berlaku antara India dan Pakistan berhubung wilayah bertelingkah Kashmir yang mencetuskan kebimbangan konflik besar-besaran dan kuasa dunia menggesa keduanya bertenang.

“Tentera laut Pakitan menahan sebuah kapal selam India daripada memasuki perairan wilayah kami. Kapal selam India tidak disasarkan sejajar dengan dasar kerajaan mengekalkan perdamaian,” kata seorang jurucakap tentera laut dalam satu kenyataan.

Ia adalah insiden pertama seumpamanya sejak 2016 apabila Pakistan berkata, ia ‘menolak’ sebuah kapal selam India jauh dari perairan negara itu.

Jurucakap itu bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut termasuk bila atau di mana kapal selam itu dikesan. Tidak jelas jika mereka memberi maksud had perairan wilayah sepanjang 22 kilometer atau zon ekonomi ekslusif sepanjang 370 kilometer.

Tentera laut juga mengeluarkan apa yang dikatakan video kapal selam, dengan rakaman hitam dan putih menunjukkan periskop di permukaan air. Tempoh masa video itu bermula jam 8.35 malam semalam. Tiada ulasan segera daripada pihak berkuasa India berhubung kejadian itu. – AFP