Pakistan membuka semula ruang udaranya untuk semua penerbangan awam setelah hampir lima bulan menutupnya selepas ketegangan memuncak dengan India.

“Ruang udara Pakistan kini dibuka kepada semua jenis penerbangan awam berkuat kuasa serta-merta,” kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan (CAA) .

Pakistan menutup ruang udaranya kepada semua lalu lintas awam selepas India melakukan serangan udara ke wilayah Pakistan pada 26 Februari, berikutan serangan bunuh diri di bandar Pulwama, Kashmir.

India menyalahkan Pakistan dalam tragedi pengeboman bunuh diri pada 14 Februari itu.

Pakistan kemudiannya melakukan serangan balas terhadap sasaran di Kashmir yang dikendalikan oleh India pada 27 Februari, dengan pertempuran yang menyebabkan sekurang-kurangnya satu jet pejuang India ditembak jatuh.

Ketegangan menurun apabila Pakistan mengembalikan juruterbang angkatan udara India yang ditawan selepas jetnya ditembak jatuh, dua hari kemudian.

India juga menangguhkan penerbangan di lapan lapangan terbang pada masa itu, kebanyakannya berhampiran sempadan baratnya.

Manakala Pakistan mengurangkan beberapa larangan udara pada bulan April, tetapi penerbangan yang melintasi India masih dihalang daripada menggunakan laluan udara utama.

Hari ini, perkhidmatan pengesanan penerbangan Flightradar24 menunjukkan beberapa penerbangan telah mula menggunakan laluan yang baru dibuka semula itu. – Agensi