Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo, Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Kerajaan negeri digesa mengisytiharkan darurat di kawasan tertentu di Pasir Gudang, Johor selepas insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Kim menjadi semakin kritikal.

Langkah itu menurut Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo adalah mengelakkan penduduk di kawasan yang tercemar mengalami masalah kesihatan jangka panjang.

“Kerajaan negeri perlu memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang berisiko tinggi terjamin dengan memindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat. Pengisytiharan darurat perlu dilaksanakan sehingga keadaan benar-benar pulih.

“Jumlah mangsa yang meningkat ketika ini adalah kerana kesan jangka pendek pencemaran toksik itu. Yang lebih bahaya adalah kesan jangka panjang terhadap mang­sa kerana mampu menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit merbahaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mengambil langkah pantas untuk membendung jumlah mangsa daripada te­rus meningkat kerana dikhuatiri akan menyebabkan keadaan lebih buruk berlaku.

Katanya, tindakan lambat daripada pihak bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat secara tidak sengaja menyebabkan lebih ramai penduduk setempat menjadi mangsa pencemaran tersebut.

Sementara itu, Presiden Akamdei Sains Islam Malaysia (Asasi), Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud mencadangkan kerajaan negeri untuk meminta bantuan daripada syarikat bahan kimia untuk membersihkan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Menurut Wan Ramli, syarikat berkenaan mempunyai alat penuras yang boleh digunakan untuk menyerap sisa toksik organik yang terapung di permukaan Sungai Kim Kim.