BANGKOK: Seorang anggota kumpulan pop Thailand berdepan kontroversi kerana memakai baju yang memaparkan lambang swastika iaitu mirip dengan lambang bendera Nazi dalam satu persembahan di televisyen.

Dalam persembahan pada Jumaat itu, Pichayapa Natha dari kumpulan pop perempuan, BNK48, telah menyebabkan kedutaan Israel di Negara Gajah Putih itu ‘terkejut dan kecewa’, lapor AFP.

Imej Adolph Hitler, swastika dan apa saja lambang berkaitan Nazi secara umumnya mudah ditemui di serata Thailand. Fenomena itu terjadi bukan kerana kecenderungan politik, tetapi lebih kepada trend golongan muda yang tidak terdedah pada sejarah dunia.
Tindakan Pichayapa yang memakai baju tersebut menyebabkan Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Israel di Bangkok menzahirkan rasa tidak puas hatinya menerusi akaun Twitter.

“Menunjukkan simbol Nazi oleh anggota kumpulan tersebut mengguris perasaan jutaan orang di seluruh dunia,” kata Smadar Shapira.

Pada petang hari ini (Ahad, 27 Januari) penyanyi berusia 19 tahun itu akan berjumpa dengan Duta Besar Israel.

Pada Sabtu malam, Pichayapa telah memohon maaf atas kesilapannya dalam satu persembahan konsert di ibu negara Thailand.

“Saya mahu perkara ini menjadi iktibar kepada semua. Tolong maafkan saya,” ujarnya sambil menangis.
Dia yang turut memuat naik status di akaun Facebooknya, mahu bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan tersebut.
“Tolong nasihatkan saya supaya saya menjadi orang dewasa yang baik pada masa akan datang. Saya tidak boleh memperbetulkan kesilapan, tapi saya berjanji ia tidak akan berlaku lagi,” ujarnya dalam status itu.

Kumpulan peminat BNK48 bagaimanapun mempertahankan Pichayapa.

Ramai yang meletakkan kesalahan pada sistem pendidikan Thailand, yang tidak memberi tumpuan pada sejarah dunia.

“Ketika kami di sekolah, kami hanya ajar tentang peperangan antara Thailand dan Myanmar,” tegas seorang pengguna media sosial, Sanruay Kraspa.