PETALING JAYA: Kumpulan veteran mempersoalkan jawapan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung penempatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu pakatan tentera Arab di Yaman, mengatakan permintaan bekas menteri pertahanan itu supaya merujuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) menimbulkan banyak pertanyaan berbanding jawapan.

“Adakah dia menunjukkan bahawa MKN berkuasa untuk bersetuju dengan penempatan ATM di luar negara?” kata Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) dalam satu kenyataan hari ini.

“Adakah dia mengatakan Kabinet atau Parlimen tidak mempunyai peranan dalam persetujuan penempatan tentera di luar negara? Adakah dia mengatakan jawatankuasa Panglima Angkatan Tentera tidak perlu dirunding dan boleh dilepasi?”

Perkara itu timbul awal minggu ini apabila Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong mendedahkan di Parlimen bahawa ATM membantu pakatan tentera Arab di bawah Ops Yaman 2 tanpa kelulusan Kabinet.

Beliau berkata penglibatan Malaysia adalah terhad kepada sokongan taktikal dan logistik untuk Arab Saudi.

Hishammuddin bagaimanapun tidak menjawab secara langsung sama ada sama ada tindakan Malaysia memberikan sokongan logistik kepada pakatan tentera Arab itu perlu mendapat kelulusan Kabinet.

“Dia (Liew) kena tahu apakah itu MKN, saya rasa dia lupa apakah MKN. Dia kata tidak dibawa ke Kabinet, jadi apa yang terjadi pada MKN. Tanyalah pada MKN, tanya pada mereka apa yang sebenarnya kita lakukan.

“Tetapi mestilah ‘declassified’ maklumat ini kerana ia adalah kepentingan nasional. Kalau betul mereka hendak buat (dapatkan maklumat), gunakan agensi di bawah mereka sekarang untuk cari kebenaran,” katanya kepada pemberita semalam.

Presiden Patriot Datuk Mohamed Arshad Raji menggesa Hishammuddin menjelaskan bahagian mana ia ditetapkan dalam Akta MKN bahawa majlis itu diberi kuasa untuk menggunakan menempatkan tentera ke luar negara dan menjadi sebahagian pasukan yang berperang dengan negara lain.

“Hishamuddin juga harus menerangkan apa yang dimaksudkannya dengan mengatakan maklumat (berkaitan dengan penempatan tentera) harus ‘declassified’ kerana ia adalah kepentingan nasional.

“Adakah menghantar tentera untuk membantu peperangan negara lain dianggap kepentingan nasional? Adakah terdapat beberapa bentuk pengaturan pertahanan atau perjanjian antara Malaysia dan Arab Saudi di mana Malaysia diwajibkan membantu Arab Saudi berperang melawan Yaman?”

Arshad menambah rakyat diberitahu kehadiran tentera di Arab Saudi adalah untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman.

“Jika benar, kenapa tentera berada di sana lebih 3 tahun? Misi untuk operasi sedemikian boleh diselesaikan dalam masa kurang sebulan.”

Beliau juga berpendapat penempatan tentera untuk membantu Arab Saudi di Yaman adalah haram kerana ia tidak diberi kuasa oleh Kabinet atau Parlimen.

“Perang di Yaman berulang kali dianggap oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai serangan udara yang menyalahi undang-undang kerana menyasarkan orang awam, yang dianggap jenayah perang,” katanya.

“Ia juga dilihat sebagai perang proksi antara Arab Saudi dan Iran, yang mana Malaysia tidak terlibat dengannya.” – FMT