Operasi gempa-tsunami Palu akan ditamat Khamis

Usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami di Palu akan ditamatkan pada Khamis.

Pihak berkuasa Indonesia berkata keputusan itu dibuat setelah tiada lagi mangsa hidup ditemui selepas hari ketiga usaha itu dilancarkan.

Setakat ini, angka korban susulan bencana berganda pada 28 Sept itu telah mencecah 1,763 nyawa, sementara hampir 2,600 cedera.

Namun, lebih 5,000 mangsa masih belum ditemui, kebanyakannya di Petobo dan Balaroa.

Menurut jurucakap Agensi Bencana Indonesia Sutopo Purwo Nugroho, ramai mangsa yang hilang dipercayai ditelan tanah.

Sementara itu, ratusan waris kepada mangsa yang masih hilang memberi reaksi marah, tidak puas hati dan sedih dengan keputusan dibuat agensi itu.

Salah seorangnya ialah penduduk Balaroa, dikenali sebagai Hajah Ikaya, 60 tahun, yang masih belum menemui kakak, abang ipar dan anak saudaranya dalam kejadian itu.

“Adakah mereka hendak berhenti mencari begitu sahaja sedangkan kami masih belum jumpa ahli keluarga dan kawan-kawan kami yang hilang?” soalnya.

Dede Diman, 25 tahun, dari Petobo, yang kematian ibu dalam tragedi itu dan masih mencari saudara perempuannya berkata: “Kami tak setuju. Kami tidak akan putus asa. Kami akan terus mencari kakak kami.”

– Astro Awani