Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk tindakan rejim pengganas Israel di Baitulmaqdis, sekali gus menggesa dunia memboikot negara-negara yang telah memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke wilayah yang diduduki itu.

Gesaan OIC itu dibuat susulan mesyuarat yang dihadiri menteri luar negeri setiap negara anggota di Jeddah, Arab Saudi semalam, berhubung isu pelanggaran Israel di Baitulmaqdis.

Jawatankuasa Eksekutif OIC dalam satu kenyataan menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap cubaan Zionis mengubah status bersejarah dan undang-undang bandar Al-Quds Al-Sharif yang diduduki, termasuk pemindahan kedutaan ke Baitulmaqdis selepas Amerika Syarikat mengisytihar ia sebagai ibu negara Israel.

OIC turut menegaskan pendiriannya mengutuk Israel dalam pembabitannya serta kuasa pendudukan di Baitulmaqdis, selain cubaan mengubah status undang-undang serta demografi bandar itu.

“Kerajaan Israel baru-baru ini cuba menyangkal realiti sejarah dengan dengan membuka ‘jalan orang Yahudi’ dari kolam Silwan pada dinding Al-Buraq sehingga di bawah rumah Palestin di Silwan, selatan Masjid al-Aqsa,” kata kenyataan itu.

OIC turut mengutuk penyertaan wakil pentadbiran Washington dan sokongan negara itu terhadap langkah haram Israel ke atas Baitulmaqdis yang menentang sentimen umat Islam, sekali gus meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.

“OIC juga menggesa semua negara dunia, terutama AS, institusi dan badan antarabangsa untuk mematuhi resolusi yang ditetapkan ke atas Baitulmaqdis, yang sebahagian daripada wilayah Palestin diduduki pada tahun 1967.

“Kita juga menggesa negara dunia menahan diri daripada mengambil langkah-langkah yang akan membayangkan beberapa bentuk pengiktirafan sama ada secara terang-terangan atau tersirat, termasuk melalui penempatan semula wakil diplomatik masing-masing ke bandar itu,” katanya.

Pertubuhan Islam antarabangsa itu turut menggesa 57 negara anggota memboikot negara yang telah merasmikan kedutaan di Baitulmaqdis, dan menghentikan sebarang hubungan diplomatik, pertukaran perdagangan serta lawatan politik.- Agensi