Sekeping nota merujuk kepada serangan pengganas di Christchurch, New Zealand ditemukan di lokasi kejadian kebakaran di sebuah masjid di Selatan California.

Stuff New Zealand melaporkan, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan anggota Pusat Islam Escondido berjaya memadamkan kebakaran sebelum anggota bomba tiba pada pukul 3.15 pagi semalam.

Kejadian itu disiasat sebagai pembakaran sengaja dan kemungkinan jenayah kebencian, jelas polis.

Jurucakap polis, Chris Lick berkata, nota tersebut ditemukan di lot parkir merujuk kepada serangan di dua buah masjid di Christchurch.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu isi kandungan nota berkenaan.

Kebakaran itu menyebabkan kerosakan kecil di luar masjid tersebut.

Polis memberitahu KNSD TV, terdapat tujuh jemaah berada di dalam masjid ketika kejadian berlaku.