Nama remaja Palestin ‘bertakhta’ di 13 jalan Belanda

Belanda – sebuah negara yang didiami majoriti penduduk bukan Muslim dan pernah menyaksikan kemunculan ahli politik ekstrem terhadap Islam – ‘menamakan’ beberapa jalan di negara itu dengan Ahed Tamimi baru-baru ini.

Aktivis terbabit menggunakan beberapa plakad untuk melekat tanda nama itu sebagai tanda sokongan moral mereka terhadap Ahed, 17, yang sedang dipenjara lapan bulan oleh rejim Zionis Israel.

Dua pertubuhan hak asasi manusia Belanda – MovementX dan DocP – mengaku bertanggungjawab atas tindakan berkenaan.

Dalam kenyataan bersama NGO itu berkata beberapa jalan berkenaan ditukar namanya sebagai langkah mewujudkan kesedaran kepada penduduk setempat mengenai Ahed.

“Ia juga sebagai lambang kebersamaan kami dengan dia,” kata MovementX dan DocP.

Ahed, 17, menjadi simbol penentangan orang bawahan terhadap penguasaan rejim yang kini dipenjara selepas menampar seorang tentera Israel pada Disember 2017.

Lahir di kawasan petempatan bernama Nabi Saleh, dia bukanlah asing dalam gerakan melawan tentera rejim Zionis di Tebing Barat.

Aksi beraninya berkali-kali dirakam kamera dan menjadi tular.

Kenyataan dua NGO itu menyebut Ahed dihukum atas tindakannya yang tidak seberapa, manakala keluarga remaja itu turut dihukum berat.

Pernah ada usul di parlimen

“Pada hari sama hukuman ke atas seorang tentera Israel yang dihukum pada 2016 kerana menembak lelaki Palestin yang sudah mati dikurangkan dari sembilan bulan menjadi lapan bulan.

“Kami kecewa kerajaan Belanda tidak memberikan tekanan sewajarnya ke atas Israel bagi membebaskan Ahed,” kata pertubuhan berkenaan.

Mereka juga menyamakan Ahed dengan tokoh pemberontak dan antifasis, Hannie Schaft, yang dibunuh anggota Nazi Belanda pada 17 April 1945.

Mengikut cerita, dua lelaki membawa Hannie, 24, ke Bloemendaal dan salah seorang daripadanya menembak wanita terbabit dari jarak dekat.

Tembakan itu tidak membunuh Hannie, cuma mencederakannya.

Hannie kemudian berkata: “Aku boleh menembak lebih baik daripada kau.”

Kata-kata itu mendorong lelaki kedua menembak Hannie dan menamatkan riwayat mangsa yang digelar “perempuan berambut merah”.

MovementX dan DocP berkata Ahed dan Hannie memiliki sekurang-kurangnya dua persamaan – keberanian serta rambut yang menggerbang.

Pada Feb 2017 satu usul dikemukakan di parlimen Belanda bagi meminta kerajaan mendesak supaya Ahed dibebaskan. Bagaimanapun usul itu ditolak 101 daripada 150 anggota dewan rendah berkenaan.

Nama Ahed diletakkan pada papan tanda jalan di Amsterdam, The Hague, Rotterdam, Groningen, Leeuwarden, Grijpskerk, Assen, Leiden, Heemstede, Tilburg, Vlaardingen, Maarssen dan Nijmegen.