Najib mahu gugurkan saman, tapi Pua enggan

Percubaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menarik balik samannya ke atas ahli parlimen DAP Tony Pua berdepan dengan kebuntuan pagi ini.

Ini kerana Pua menolak tindakan itu, kata bekas peguam perdana menteri, Datuk Mohd Hafarizam Harun selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Keputusan ahli parlimen DAP itu adalah berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memberinya kebenaran untuk mencabar injunksi interim (sementara) yang menghalangnya daripada membuat kenyataan fitnah mengenai Najib berhubung skandal 1MDB.

“Berikutan itu, Mahkamah Tinggi menetapkan 26 Julai ini untuk menentukan sama ada ini boleh dilakukan,” kata Hafarizam.

Peguam Pua, Tan Cheng Leong kemudian mengesahkan bahawa saman itu akan dibicarakan pada tarikh yang dinyatakan.

Najib menyaman Pua atas kedudukan peribadinya dengan mendakwa pemimpin DAP itu membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau melalui video berkaitan pembentangan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Bekas perdana menteri itu mendakwa klip video dimuat naik Pua atau ejennya ke laman Facebook rasminya sepanjang dua minit, 21 saat bertajuk ‘BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill’ boleh diakses secara meluas dan bebas melalui Internet.

Pada 4 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberi injunksi sementara kepada Najib untuk menghalang Pua, yang kini pegawai khas kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, daripada terus membuat kenyataan dan menyiarkan klip video itu.

Pada 14 Feb tahun ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pua untuk membatalkan injunksi sementara diperoleh Najib.

Namun pada 20 Jun lalu, panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Datuk David Wong Dak Wah membenarkan permohonan Pua untuk merayu.

sumber – MalaysiaKini