Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluah kebimbangan terhadap kesusahan yang dialami rakyat hari ini.

Malah beliau akui tidak terfikir dendam kerajaan hari ini terhadapnya menyebabkan rakyat merasai kesukaran itu.

“Saya tidak terfikir kesenangan saudara saudari sekeluarga akan bertukar jadi kesusahan.

“Saya tidak terfikir kerajaan yang berdendam dengan saya seorang akan membawa kesusahan pada saudara-saudari. Ketika ini saya hanya mampu berdoa untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurutnya, projek infrarakyat yang dirancang dan dilaksanakan BN dahulu untuk memudahkan rakyat.

“Saya bimbang. Infrarakyat kita sediakan untuk kemudahan rakyat supaya mudah buat rakyat berulang-alik, tidak terlalu bergantung kepada kereta, rakyat kita dapat pekerjaan, graduan dapat pengalaman latihan dan kemahiran bersama-sama membina sebuah mercu tanda negara.

“Kerajaan hari ini hanya memikirkan keuntungan dan tidak terfikir impak kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau akui resah mendengar berita berpuluh ribu rakyat akan kehilangan pekerjaan.

“Saya resah bayangkan kehidupan keluarga mereka selepas ini, ada yang gaji mereka cuma RM1,200 sebulan.

“Dulu, kita cipta peluang pekerjaan bagi graduan kita membangunkan Malaysia. dengan pekerjaan stabil, mereka dapat membina rumah tangga dan keluarga,” katanya.

Antara projek infrarakyat BN, Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Sistem Aliran Transit Ringan (LRT) serta Transit Aliran Massa (MRT) fasa tiga.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan Kabinet telah memutuskan untuk menamatkan kontrak MMC-Gamuda dalam membina bahagian bawah tanah projek MRT 2 dan kerja yang belum selesai akan ditender semula melalui proses tender terbuka antarabangsa.

– Sinar Harian