Syria akan mendapat sistem pertahanan udara canggih berikutan kejadian pesawat peninjau Russia ditembak jatuh minggu lalu.

Atas arahan Presiden Russia Vladimir Putin, sistem peluru berpandu darat ke udara S-300 akan dipasang di Syria bersama sistem pemegun radar berteknologi terkini.

Langkah meningkatkan sistem pertahanan di Syria itu dilakukan selepas sistem peluru berpandu S-200 era Soviet Union tersilap menembak jatuh pesawat peninjau tentera Russia, menyebabkan 15 terbunuh. Russia menyalahkan Israel sebagai punca kejadian.

“Kejadian itu mendorong kami mengambil langkah sewajarnya, termasuk meningkatkan keselamatan tentera Russia di Syria.

“Russia akan membekalkan sistem pertahanan udara moden S-300 kepada tentera Syria dalam masa dua minggu,” kata Menteri Pertahanan Sergei Shoigu.

Menurutnya, Putin dan Presiden Syria, Bashar al-Assad, membincangkan isu berkenaan melalui telefon Isnin lalu.

Sistem peluru berpandu S-300 itu sepatutnya dibekalkan kepada Syria pada 2013, namun Russia menangguhkannya atas permintaan Israel.

S-300 lebih berkesan berbanding sistem pertahanan udara Syria sekarang dan ia bukan saja boleh memintas pesawat, malah juga boleh melancarkan peluru berpandu bumi ke bumi, malah peluru berpandu ‘cruise’ yang jarak capaiannya lebih 150 kilometer.

Dalam kejadian 17 September lalu, Russia menuduh jet F-16 Israel berlindung di sebalik pesawat peninjau Ilyushin Il-20 berkenaan yang hendak mendarat di Latakia ketika menyerang kemudahan tentera Syria di bandar itu menyebabkan ia terkena tembakan peluru berpandu pertahanan Syria.

Menurut Russia, Israel memberitahu mengenai serangan itu terlalu lewat, seminit sebelum serangan dilancarkan selain memberi lokasi sasaran yang salah.

Sejak 18 bulan lalu, Israel melancarkan lebih 200 serangan di Syria, menyasarkan apa yang didakwanya penghantaran senjata oleh Iran kepada Hizbullah di Lubnan. – Harian Metro