Amerika Syarikat (AS) kelmarin memaklumkan bahawa pihaknya meluluskan penjualan peluru berpandu pertahanan udara bernilai lebih AS$600 juta (RM2.51 bilion) kepada Korea Selatan dan Jepun ketika ketegangan dengan Korea Utara kembali meningkat.

Jabatan Negara AS memaklumkan mereka meluluskan sebanyak 94 buah peluru berpandu SM-2 untuk kegunaan kapal laut terhadap ancaman udara, di samping 12 sistem panduan yang secara keselu­ruhan bernilai AS$313.9 juta (RM1.31 bilion) kepada Korea Selatan.

Kelulusan berasingan turut diberikan oleh jabatan itu untuk penjualan 160 buah peluru berpandu antiudara AMRAAM dan peralatan panduan berkaitan kepada Jepun bernilai AS$317 juta (RM1.32 bi­lion).

“Penjualan itu akan menyokong polisi asing dan objektif keselamatan negara AS dengan membantu sekutu penting kami tanpa mengubah keseimbangan asas ketenteraan di rantau tersebut,” jelas Jabatan Negara AS dalam satu kenya­taan akhbar.

Korea Utara pada ming­gu lalu mengadakan ujian dua peluru berpandu yang digambarkan pihak tentera Korea Selatan sebagai senjata jarak pendek, siri kedua ujian seumpamanya dalam tempoh kurang se­minggu.

Dua ujian senjata itu berlaku susulan perbincangan antara Korea Utara dan AS menemui jalan buntu ketika Presiden AS, Donald Trump bermegah konon­nya akan menamatkan ujian peluru berpandu Pyongyang.

Persidangan kedua antara Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada Februari lalu gagal mencapai sebarang persetujuan selepas delegasi AS menolak tuntutan me­ngurangkan sekatan selagi Pyongyang tidak mengambil langkah besar bagi menamatkan program senjata nuklearnya. – AFP