Semasa era Perang Dingin, Amerika Syarikat (AS) melihat Kesatuan Soviet sebagai pesaing utamanya dalam program angkasa termasuk pembinaan roket dan satelit.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, program angkasa China pula telah menjadi kebimbangan terbesar strategis-strategis AS.

Pada zaman ini, program angkasa China yang dikendalikan oleh angkatan tenteranya, iaitu Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), telah melancarkan lebih banyak roket ke angkasa lepas berbanding negara-negara lain di dunia.

Difahamkan, China melancarkan sebanyak 39 roket pada tahun lepas diikuti AS (31), Rusia (20), dan Eropah (8).

Pada awal bulan ini, gergasi Asia itu juga telah berjaya mendaratkan kapal angkasa robotiknya di bahagian gelap bulan, sekali gus menjadi negara yang pertama di dunia untuk berbuat demmikian.

Selain daripada itu, China juga sudah mempunyai rancangan membina sebuah stesen angkasa orbit dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.

Bagi satu dekad selepas itu pula, negara itu berhasrat untuk menghantar angkasawannya ke bulan untuk melakukan “moonwalk” yang pertama sejak tahun 1972.

Kini, China dilaporkan berbelanja besar untuk program angkasa sivil dan tenteranya melebihi Rusia dan Jepun.

Walaupun masih belum berapa jelas, Organization for Economic Cooperation and Development (OECD) menganggarkan bajet 2017 negara itu bernilai AS$8.4 bilion (RM34.7 bilion).

Namun menurut Phil Smith, penganalisis syarikat perunding Bryce Space and Technology, bajet ini jauh lebih sedikit berbanding AS$48 bilion (RM198 bilion) yang dibelanjakan oleh AS di dalam programm angkasa awam dan tenteranya.

Walaupun ketinggalan di belakang selama beberapa dekad, pemimpin-pemimpin baru China telah berjaya meniru kejayaan pembangunan angkasa yang dicapai oleh negara-negara lain.

Todd Harrison, pakar program angkasa tentera di Center for Strategic and International Studies di Washington berkata, sekiranya China meneruskan trend ini, ia akan mampu mengungguli Rusia dari aspek teknologi keupayaan angkasa.

Walau bagaimanapun, China tidak menjadi ‘ancaman’ terhadap pasaran pelancaran satelit komersil yang masih didominasi oleh syarikat-syarikat roket antarabangsa termasuk SpaceX yang berpangkalan di AS, dan Arianespace milik Eropah. – AFP