Pada 19 Disember tahun lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan: “Kami telah menewaskan militan IS di Syria,” sambil mengumumkan pengunduran segera tentera AS dari negara bergolak itu.

Namun pada 7 Januari 2019, Trump menyatakan bahawa tenteranya akan berundur dari Syria secara berperingkat dan pada masa yang sama terus berjuang untuk menentang IS.

Di antara kedua-dua kenyataan Presiden AS itu juga, Setiausaha Pertahanan beliau, James Mattis dan duta khas AS dalam menentang IS, Brett McGurk, telah meletak jawatan.

Selain itu, Senator-senator kanan Republikan turut mengkritik secara terbuka berhubung pengunduran tentera AS yang disifatkan sebagai ‘mengejut’ itu.

Setiausaha Negara, Mike Pompeo pula menyatakan bahawa “tiada sebarang perubahan ke atas komitmen negara untuk menewaskan IS secara global.”

Tetapi pada masa yang sama, beliau berkata bahawa misi itu boleh dilaksanakan tanpa 2,000 anggota tentera AS di Syria.

Walaupun pelbagai usaha telah diambil untuk memerangi militan tersebut, kumpulan itu masih belum tewas sepenuhnya dari segi pasukan pertempuran mahupun ideologi.

Pada tahun 2017, Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi mengisytiharkan kejayaan tenteranya membebaskan bandar Mosul daripada cengkaman militan IS.

Difahamkan, bandar tersebut merupakan salah satu kubu kuat utama militan itu sebelum ini.

Namun memetik laporan CNN, terdapat tanda-tanda ‘kebangkitan semula’ IS di Iraq dan juga Syria.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ogos 2018, masih terdapat kira-kira 20,000 dan 30,000 pejuang IS yang masih bebas di kedua-dua negara itu.

Lebih membimbangkan lagi, IS juga mempunyai pengikut serta pengaruh yang kuat dari Afrika Barat sehinggalah Indonesia, dan mereka tidak menunjukkan sebarang petanda untuk “menyerah kalah”.

PERTEMPURAN HAJIN
Beberapa ratus pejuang IS dipercayai masih mengawal wilayah di sempadan Syria-Iraq. Dua anggota tentera British dilaporkan tercedera susulan serangan roket ketika pertempuran di Hajin, sebuah bandar kecil di Syria.

Rangkaian gua serta terowong di sana juga dikatakan menjadi tempat militan itu untuk terus bertahan dan bersembunyi.

Sementara itu, tentera Kurdish di darat, ditambah lagi dengan sokongan pasukan khas dan serangan udara Barat, telah bertungkus lumus berjuang untuk menghapuskan IS di Hajin selama berbulan-bulan.

Di antara 9 dan 15 Disember 2018, tentera gabungan yang diketuai oleh AS telah melancarkan 208 serangan udara terhadap IS di Syria, dan kebanyakan serangan dilancarkan di sekitar Hajin.

‘PEMULIHAN’ IS DI IRAQ
Terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa IS sedang berkumpul semula dengan jumlah yang kecil di Iraq.

Pegawai kerajaan Iraq dan penganalisis terorisme berkata, sel-sel (kumpulan kecil) IS telah menyusup ke kawasan pergunungan Hamrin di selatan Bandar Mosul.

Kumpulan itu juga dilaporkan telah membunuh pegawai-pegawa keselamatan di wilayah Diyala, pemimpin-pemimpin Sunni di wilayah Nineveh, dan melancarkan serangan hendap di jalan raya utama yang menghubungkan Baghdad dan Mosul.

Bukan itu sahaja, malah pada November lepas, letupan bom berdekatan sebuah restoran di Mosul telah mengorbankan beberapa nyawa.

Beberapa serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Iraq sejak beberapa bulan yang lepas juga menunjukkan bahawa IS masih wujud di kawasan padang pasir di bahagian barat negara itu.

KEKAYAAN WANG YANG LUAR BIASA
Militan IS dilaporkan mempunyai wang bernilai ratusan juta dolar yang dipercayai ‘diperoleh’ daripada hasil minyak dan cukai ketika ia menakluki bahagian-bahagian besar Iraq serta Syria.

Menurut sebuah sumber, IS juga telah melakukan penggubahan wang haram menerusi perniagaan-perniagaan di Turki.

Pada bulan Oktober lalu, Bendahari AS telah mengenakan sekatan ke atas perniagaan perkhidmatan wang berpangkalan di Iraq yang dikatakan memindahkan wang untuk IS.

Perniagaan itu turut disifatkan sebagai “rangkaian rumit perniagaan perkhidmatan kewangan dan fasilitator kewangan yang membiayai keganasan di seluruh Timur Tengah.”

PENGARUH IS DI BAHAGIAN-BAHAGIAN LAIN DUNIA
Ideologi IS yang berjaya mempengaruhi ratusan individu asing untuk menjadi pejuang mereka di Iraq dan Syria mungkin dilihat menjadi semakin lemah selepas kekalahannya di kubu kuat di kedua-dua negara itu.

Walau bagaimanapun, ideologi itu masih belum terhapus sepenuhnya.

Pengikut-pengikut IS di beberapa lokasi termasuk Afrika Barat, Libya, Yaman, Filipina dan Indonesia yang telah bersumpah taat setia dengan mereka, dilaporkan masih aktif.

Ketika tahun baru, sebuah kumpulan pro-IS disyaki mengebom sebuah pusat membeli-belah di Filipina, di mana serangan itu meragut dua nyawa.

IS mungkin tidak mampu untuk melancarkan serangan secara langsung di Eropah lagi, tetapi individu-individu radikal masih berpotensi berbuat demikian di atas nama kumpulan itu.

Cherif Chekatt, individu yang membunuh lima orang di Strasbourg pada Disember lalu sebelum ditembak mati, telah merekod sebuah video yang menunjukkan sokongan terhadap IS.

Namun begitu, masih terdapat 29,000 individu lain yang dipercayai telah diradikalisasikan juga.