Dua anggota militan Illinois sanggup menyewa sebuah trak dan memandu lebih 805 kilometer (km), semata-mata mahu menakutkan umat Islam di Amerika Syarikat (AS), dengan merancang mengebom masjid Minnesota.

Michael McWhorter, 29, dan Joe Morris, 23, mengaku melakukan perbuatan terkutuk berkenaan ke atas Pusat Islam Dar Al-Farooq di Bloomington pada 5 Ogos 2017.

Kedua-dua lelaki terbabit mengaku memecahkan tingkap dan melemparkan bom paip dengan campuran petrol di dalamnya, sehingga menyebabkan letupan, kebakaran serta kerosakan teruk premis berkenaan.

Bagaimanapun, serangan itu tidak menyebabkan kecederaan, namun menggemparkan masyarakat Islam setempat.

McWhorter dan Morris, masing-masing mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan ke atas mereka berkaitan serangan masjid, cubaan mengebom, rompakan bersenjata dan beberapa jenayah lain.

Sementara seorang lagi tertuduh, Michael Hari, 47, didakwa sebagai dalang yang mengarahkan serangan pengeboman itu, kekal berada dalam tahanan persekutuan di Illnois.

Pengakuan bersalah McWhorter dan Morris itu dibuat sehari sebelum tiga anggota militan berkenaan dijatuhkan hukuman penjara kerana bertanggungjawab dalam cubaan bunuh beramai-ramai umat Islam di barat daya Kansas, dengan meletupkan masjid dan pangsapuri pendatang Somalia.

Serangan itu dirancang selepas Pilihan Raya Presiden pada November 2016.- Agensi