Mesir menyambung semula kerja-kerja membaik pulih sebuah masjid bersejarah, Masjid Al-Zahir Baybars, yang dibina pada abad ke-13.

Usaha itu sekali gus menandakan bahawa aspek kebudayaan akhirnya dihidupkan semula selepas tujuh tahun negara itu berhadapan dengan kemelut politik dan masalah keselamatan.

Masjid itu dibina oleh Mamluk Sultan al-Zahir Baybars Abdullah Al-Bindakari sejak tahun 1266 hingga 1268.
Kerja-kerja baik pulih dilakukan semula selepas ia dihentikan pada tahun 2011.

Ia susulan kejadian penunjuk perasaan yang cuba menggulingkan pemimpin yang dikatakan sebagai autokratik, Hosni Mubarak, pada ketika itu.

Sejak kejadian itu, Mesir berhadapan kesukaran untuk melakukan kerja-kerja baik pulih projek tersebut lebih-lebih lagi apabila rusuhan dan serangan militan berleluasa, hingga menjauhkan para pelancong serta pelabur ke negara berkenaan.

Kaherah sangat kaya dengan bangunan bersejarah yang mempunyai seni bina istimewa, dengan kewujudan dari era pemerintahan Firaun hinggalah kedatangan tamadun Islam. Namun, banyak monumen sudah rosak atau lenyap sepenuhnya gara-gara tiada pembiayaan mahupun ditinggalkan begitu saja.

Sementara itu, Kementerian Kebudayaan Mesir menjangkakan sejumlah AS$5.57 juta (RM23.15 juta) diperlukan untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih yang dijangka siap dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.

– Astro Awani