Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menafikan beliau menjadi bahan ketawa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila bercerita mengenai kejayaan negaranya dalam ucapan kepada diplomat dunia.

Sebaliknya beliau berkata, mereka berkongsi ‘saat gembira’.

“Kami bergembira. Mereka tidak ketawakan saya, mereka ketawa bersama-sama saya.

“Mereka seronok dengan saya,” katanya kepada wartawan di New York, kelmarin, merujuk kepada ucapannya di Perhimpunan Agung PBB (UNGA).

Diplomat seluruh dunia ketawa apabila Trump berkata: “Dalam masa tidak sampai dua tahun, pentadbiran saya mencapai kejayaan lebih daripada hampir semua pentadbiran lain dalam sejarah negara kami.”

Trump kemudian menyampuk ucapan yang disediakan itu dengan berkata, “Ia benar” dan ketawa semakin kuat.

Trump tersenyum dan berkata: “Saya tidak menjangkakan reaksi ini, tetapi OK.” – AFP