PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata keputusan untuk menggunakan papan tanda jalan dalam bahasa Cina adalah keputusan yang dimuktamadkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Katanya, Kerajaan Persekutuan tidak mengetahui tindakan itu kerana segala kuasa melibatkan kerajaan negeri adalah di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kalau Sultan sudah keluarkan titah, kita kena akur kerana saya fikir ada perbincangan di peringkat negeri, DUN dan PBT.

“Itu saya tidak tahu kerana saya tidak terlibat dalam perbincangan, jadi latar belakang cerita saya tidak tahu,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Khalid menambah, semua pihak perlu akur dengan arahan Sultan Selangor tersebut.

Khalid juga berpandangan sewajarnya nama jalan itu dikekalkan dengan tulisan bahasa Melayu bagi memudahkan rakyat untuk membacanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Arahan baginda itu dipercayai susulan laporan media sebelum ini mengenai beberapa papan tanda nama jalan di Shah Alam yang sebelum ini ditulis dengan bahasa Melayu dan Jawi namun kemudian ditukar kepada tulisan Cina serta mengekalkan bahasa Melayu.

Bagaimanapun, kerajaan Selangor akur dengan arahan tersebut dan akan mengambil tindakan segera untuk mencabut papan tanda jalan berkenaan.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, arahan menurunkan papan tanda jalan akan dikeluarkan dan penurunannya akan dibuat di kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya. – FMT