Mengapa program pemulihan militan di Malaysia gagal?

YAZID Sufaat, Mohd Lotfi Ariffin dan Rafi Udin antara militan Malaysia paling terkenal, namun mereka juga merupakan antara individu yang mengikuti program pemulihan ekstremis yang dijalankan oleh kerajaan.

Iman Research, yang menjalankan kajian mengenai keganasan ekstremis berkata, terdapat tiga contoh bagaimana program pemulihan dan integrasi militan Putrajaya (RnR) masih belum mencukupi.

Ini kerana dakwaan kerajaan bahawa usaha pemulihan ekstremis keganasan mempunyai 97% kadar kejayaan, kata pengarah program Badrul Hisham Ismail.

Lotfi dan Rafi merupakan antara ekstremis yang mana pusat kajian itu percaya akan menyertai semula kumpulan militan atau terus mempercayai militan walaupun sudah mengikuti program kerajaan.

Dalam kajian itu, Iman mendapati majoriti ekstremis yang “dipulihkan” masih berpegang kepada kepercayaan asal mereka dan meneruskan sumbangan dana kepada kumpulan berkenaan.

“Benar apabila kerajaan mengatakan dasar anti-ekstremis mereka berjaya menghalang serangan keganasan di Malaysia,” kata Badrul kepada The Malaysian Insight .

Program RnR dijalankan ke atas militan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.

“Namun tidak benar bahawa orang yang melalui program berkenaan meninggalkan pandangan ekstremis mereka,” kata Badrul dan menambah Iman Research telah bertemu individu terbabit. Dia bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka.

“Dasar menangani keganasan mungkin sangat berjaya. Tetapi ia tidak sama dengan program RnR. Hanya kerana ekstremis tidak dapat melakukan keganasan selepas ditahan tidak bermakna mereka tidak mahu melakukannya atau tidak lagi menyokongnya.”

Kejayaan pihak berkuasa mengekang serangan pengganas di tanah air juga mungkin disebabkan Malaysia sendiri bukanlah sasaran utama bagi ekstremis keganasan tempatan, kata Badrul.

“Ekstremis mempunyai kelebihan dan kebanyakan daripada mereka ingin ke kawasan bergolak seperti Syria, Marawi (Selatan Filipina) dan yang terbaru di Rakhine, Myanmar untuk menyertai kumpulan yang sudah sedia berjuang.”

Ini kerana zon peperangan itu sudah memiliki senjata dan rangkaian sokongan yang diperlukan untuk golongan ekstremis ini untuk menjalankan apa yang mereka percaya sebagai jihad.

“Secara perbandingan, menjalankan serangan di Malaysia adalah lebih sukar,” kata Badrul.

Gabungan faktor 

Kerajaan mendakwa program mereka itu telah memulihkan 97.5% atau 282 daripada 298 militan yang menjalani program berkenaan dari 2001 hingga 2012 – tempoh yang mana ISA masih lagi berkuatkuasa.

Selepas ISA dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Putrajaya menggantikan program lama dengan modul integrasi baharu.

Badrul berkata, Iman menjalankan kajian terhadap kalangan tahanan di bawah program ISA, namun tiada butiran atau data berhubung modul integrasi baharu itu.

Salah satu sebab program lama itu tidak mencukupi adalah kerana ia hanya melihat kepada aspek keagamaan ekstremis.

“Jadi tahanan menyedari bahawa jika mahu dibebaskan lebih awal, kamu hanya perlu ikut apa yang fasilitator mahu kamu lakukan dalam kelas.”

Dengan turut serta, tahanan memperdayakan fasilitator program untuk berfikir yang mereka sudah berjaya memulihkan kepercayaan ekstremis, katanya.

“Yazid dan Lotfi adalah contoh utama bagaimana ini berlaku. Malah Lotfi turut dipanggil semula untuk menjadi fasilitator. Tetapi kemudiannya dia berpeluang untuk ke Syria, dan dia mengambil peluang itu.”

Lotfi terbunuh ketika berperang dalam kumpulan pengganas IS dalam perang saudara di Syria pada 2014. Yazid dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun pada 2016 selepas didapati bersalah melakukan kesalahan berkaitan keganasan.

Kedua-duanya pernah ditahan di bawah ISA dan dibebaskan selepas menjalani pemulihan.

Bekas militan yang bercakap kepada Iman berkata, satu lagi kelemahan program pemulihan itu ialah mereka sering melindungi para tahanan.

“Masalahnya ialah militan merupakan individu yang sangat bangga diri dan memiliki keyakinan diri individu. Jadi, mereka tidak boleh berbuat baik. Apabila ini berlaku, ia mewujudkan jurang di antara fasilitator dan tahanan. ”

Pendekatan terbaik untuk pemulihan, kata Badrul adalah dengan mengadaptasi amalan terbaik daripada kejayaan program yang dijalankan di Indonesia.

Berbanding Malaysia, Indonesia mempunyai pelbagai program pemulihan yang dijalankan kerajaan, kumpulan masyarakat awam dan komuniti setempat.

Ini termasuk restoran yang mengambil bekas militan sebagai pekerja bagi menyerap semula mereka dalam masyarakat umum dan program perdamaian antara mereka dan keluarga mangsa mereka.

Pelajaran dari program-program Indonesia ini adalah bahawa tidak ada pendekatan satu untuk semua, kata Badrul.

“Pemulihan tidak boleh hanya diserahkan kepada pihak berkuasa. Organisasi masyarakat dan komuniti setempat perlu turut sama memainkan peranan kerana mereka merupakan faktor pendorong yang melahirkan ekstremis.”

Terdapat gabungan faktor yang menjadikan individu itu cenderung untuk ekstremisme. Ini termasuk rasa tidak puas hati dengan kehidupan, ikatan kekeluargaan yang lemah, kemiskinan dan idelogi.

“Kita tidak boleh membuatkan seseorang itu meninggalkan pemikiran ekstremis sekiranya kita tidak menangani faktor ini.” – 7 Februari, 2018.

%d bloggers like this: