Masalah bekalan ubat, peralatan jejas rawatan hospital di Uganda

Beberapa berdepan dengan masalah kekurangan ubat-ubatan dan bekalan bagi penjagaan kecemasan, hingga menjejaskan rawatan terutama membabitkan kes yang serius.

Menurut persatuan pekerja-pekerja kesihatan, ia memburukkan lagi keadaan di kemudahan kesihatan yang sudah berdepan dengan masalah ini sejak bertahun lamanya.

“Masalah kekurangan bekalan ini memberi kesan kepada Hospital Mulago di Afrika Timur, yang mengendalikan pelbagai kes serius yang dirujuk kepadanya oleh kemudahan kesihatan lain,” kata Persatuan Kesihatan Uganda (UMA).

Sebahagian besar pesakit di Uganda mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan awam, walaupun kemudahan yang sama turut disediakan oleh hospital swasta.

Presiden UMA, Ekwaro Obuku ketika bercakap kepada Reuters, berkata hospital kerajaan sering mengalami masalah kekurangan perubatan asas bagi kes kecemasan seperti vaksin, jarum suntikan, sarung tangan, katerer, kain kasa dan peralatan lain.

“Risiko kematian semakin meningkat kepada ibu dan bayi mereka, jika langkah sewajarnya tidak diambil dengan segera.

“Sekurang-kurangnya seorang wanita maut akibat masalah kekurangan bekalan ini,” kata Obuku kepada Reuters.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan, Vivian Nakaliika Serwanjja, berkata kekurangan bekalan itu disebabkan oleh masalah kewangan yang dihadapi agensi kewangan yang bertanggungjawab mengendalikan perolehan bekalan perubatan.

“Kekurangan (bekalan) tidak meluas,” katanya sambil menambah hanya beberapa hospital yang terjejas dan bekalan sudah mula diedarkan ke kemudahan kesihatan terbabit.

Pada masa sama, katanya, beliau tidak menerima laporan kematian akibat masalah berkenaan.

– Berita Harian