“SEJAK empat tahun lalu, kami tinggal dalam keadaan ketakutan kerana tidak tahu bila akan terkena serangan sama ada roket atau bom.

“Segala-galanya musnah sama sekali, kami tiada negara lagi.

“Mohon bantuan saudara seagama di Malaysia kerana kami tidak tahu kepada siapa lagi perlu minta bantuan. Setiap hari ada saja mangsa yang tidak berdosa maut kerana serangan perang ini tidak ada sasaran khusus.

Rakyat Yaman yang menjadi mangsa,” kata Ketua Koordinasi dan Hubungan Antarabangsa Yayasan Pembangunan Bonyan, Abdul Karim al-Matari.

Dia bersama seorang lagi aktivis yayasan itu, Dr Abd Illah al-Mutawakkil memohon bantuan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat) untuk menghulurkan bantuan segera kepada orang awam, kanak-kanak, orang tua dan membina semula kemudahan lain yang sudah lenyap sama sekali.

Katanya, ketika ini 869 sekolah dan institusi pengajian termasuk 141 universiti musnah akibat bedilan roket dalam konflik yang tidak berkesudahan lebih empat tahun sehingga mengorbankan lebih 40,000 nyawa.

“Sebab itu kami datang ke Malaysia untuk meminta bantuan rakan. Kami amat memerlukan perubatan, makanan serta keperluan asas yang lain untuk meneruskan hidup.

“Kanak-kanak juga antara yang paling teruk terkesan dan setakat ini lapan juta penduduk diancam kebuluran kerana tiada lagi kegiatan ekonomi seperti sebelum ini. Yang ada hanyalah kemusnahan di depan mata, setiap hari,” katanya yang mengadakan pertemuan bersama Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid dan Presiden Sejagat Syed Sheikh Alattas Syed Hassan.

Sementara itu, Syed Sheikh Alattas berkata, pihaknya sedang membuat persiapan untuk misi kemanusiaan di Yaman dalam masa terdekat bagi membantu penduduk di sana, sama seperti di tempat krisis yang lain.

Menurutnya, hasil perbincangan turut mendapati dua lokasi iaitu Sanaa dan Sa’dah paling teruk terjejas serta 1.1 juta penduduk juga terdedah dengan wabak kolera, namun memburukkan lagi keadaan apabila 365 hospital serta pusat perubatan tidak dapat beroperasi.

“Sejumlah 688 telaga dan pam air yang selama ini digunakan musnah dibedil manakala 903 masjid turut menjadi sasaran. Keadaan di Sanaa sangat kritikal dan kita akan cuba bantu menerusi sumbangan rakyat Malaysia.

“Baru-baru ini gabungan yang kita namakan Sekretariat Kemanusiaan Malaysia Yaman (SKMY) juga menganjurkan Majlis Makan Malam Amal bersama Menteri Pertahanan Malaysia dan kita sasarkan kutipan berjumlah RM1 juta. Alhamdulillah ia menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 564810009147. – Harian Metro