Manfaat Kepada Pembeli

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Bhd menyambut baik cadangan untuk menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan yang akan memberi manfaat kepada pembeli khususnya yang pertama kali berhasrat memiliki kediaman sendiri.

Pengarah Urusannya Tan Sri Lim Hock berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membawa isu ini ke pengetahuan Bank Negara Malaysia (BNM).

““Kami bersetuju dengan tindakan TPM yang membawa isu ini kerana ia juga secara tidak langsung memberi manfaat kepada pemaju seperti kami,” katanya.

Kelmarin, BNM menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 25 mata asas kepada 3.25 peratus, kenaikan pertama dalam tempoh tiga setengah tahun.

Menurutnya, pihaknya juga menjangkakan kesan yang minimum terhadap beberapa projek yang akan dilancarkan tahun ini.

“Kenaikan kadar faedah itu mungkin memberi kesan kepada jumlah bayaran balik pinjaman perumahan yang dibuat. Namun, selepas beberapa ketika pembeli boleh menerima keadaan itu. Kenaikan OPR tidak memberi kesan secara langsung kepada pemaju perumahan,” katanya pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) LBS Bina di sini, semalam.

Lim berkata, bagaimanapun kenaikan kadar faedah itu memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia kerana ia adalah faktor menarik untuk pelaburan asing.

“Ini adalah petanda yang baik kerana dana asing akan mula memberi perhatian kepada pasaran Malaysia. Apabila ekonomi meningkat, lebih banyak pengguna mampu membeli kediaman,” katanya.

Sementara itu, LBS mengumumkan sasaran jualan sebanyak RM1.8 bilion, dengan pelbagai projek kediaman baru tahun ini yang membawa jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion.

“Kami sedang membangunkan tiga projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Bukit Jalil, Batu Pahat, Johor and Alam Perdana, Selangor dengan GDV RM586 juta.

“Kami juga turut membangunkan projek Rumah Selangorku sebanyak 1,312 unit dengan GDV RM236 juta,” katanya.

Selain dua projek berkenaan, LBS turut mengendalikan 16 projek yang sedang rancak dijalankan dengan jumlah keseluruhan GDV RM3.3 bilion.

“Kami juga mempunyai projek kediaman baru seperti Alam Perdana yang berjaya mencatatkan jualan RM340 juta untuk fasa satu, yang menawarkan 1,656 unit rumah teres dan rumah bandar.

“Malah, kami juga akan melancarkan fasa dua projek Alam Perdana menjelang April ini yang menawarkan 877 unit kediaman teres dua tingkat dan semi-D,” katanya.

%d bloggers like this: