Negara maritim seperti Malaysia wajar mengukuhkan pertahanan sendiri supaya hak dan kepentingannya mampu dipertahankan, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda keluasan perairan dan udara negara meliputi semenanjung serta Sabah dan Sarawak yang kaya dengan hasil bumi dan laut menjadi daya tarikan negara-negara yang ada kepentingan.

“Berasaskan senario geo-strategik, keupayaan tentera laut dan udara amat penting bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Justeru, Malaysia perlu memiliki aset-aset yang dapat memenuhi tuntutan tersebut,” titah Tuanku Syed Faizuddin semasa berkenan melawat Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19), segmen maritim di jeti Resorts World Langkawi di sini semalam.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kawasan laut China Selatan yang kaya dengan hasil semula jadi seperti minyak mentah, gas, hidrokarbon dan galian-galian bernilai tinggi menarik minat kuasa-kuasa besar dunia.

“Atas alasan ini, justifikasi kita untuk meningkatkan tahap keupayaan pertahanan negara adalah kuat dan tidak boleh disangkal oleh pihak-pihak yang berniat serong,” titah baginda.

Sebelum itu, baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Panglima TLDM, Datuk Mohd Redza Mohd Sany dan Timbalannya Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya.

Baginda kemudian melawat pameran maritim di tapak Resorts World Langkawi dan melawat kapal-kapal yang berlabuh di jeti tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Padang Besar, dijemput khas oleh penganjur LIMA 2019, dan berada di Langkawi sejak Rabu lepas.

Kelmarin, baginda melawat pameran sektor aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) serta menyaksikan pertunjukan udara. — Bernama