Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya EU benar-benar melaksanakan pengharaman itu, ia akan memberi impak buruk kepada negara khususnya 500,000 pekebun kecil sawit tempatan.

Ahmad Zahid berkata,  keputusan yang boleh dianggap sebagai satu diskriminasi itu boleh menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit negara yang merupakan penyumbang terbesar dalam eksport produk barangan berasaskan komoditi iaitu sebanyak 55.4 peratus atau RM71.5 bilion tahun lalu.

“Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu yang dipengerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lalu telah mengambil keputusan mana-mana negara yang memboikot penggunaan kelapa sawit, dasar kerajaan Malaysia adalah untuk mengkaji pembelian barangan dari mereka.

“Mereka pandai melakukan pelbagai usaha permasaran supaya kita beli barangan mereka, tetapi barangan kita (mereka) tidak mahu beli. Malaysia bukan negara yang boleh diperkotak-katikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program ‘Hello Komoditi Bagan Datuk’ di Dewan Datuk Mohamed Jamrah, Sungai Sumun semalam. – UTUSAN ONLINE