Malaysia teguh atas semangat perpaduan bersama Arab Saudi dalam tindakannya melindungi keselamatan dan kestabilan susulan serangan peluru berpandu pemberontak Houthi dari Yaman ke atas negara itu kelmarin.

Sambil mengecam serangan yang menyebabkan seorang terbunuh dan dua lagi cedera akibat terkena serpihan yang jatuh dari langit tersebut, Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini berkata Malaysia berharap konflik yang sedang berlaku di wilayah itu akan diselesaikan menerusi saluran politik dan diplomatik.

Dalam insiden pada malam Isnin itu, Pasukan Pertahanan Udara Diraja Saudi memintas tujuh peluru berpandu termasuk tiga yang disasarkan ke Riyadh, ibu negara Arab Saudi dengan laluan peluru berpandu yang berwarna merah jelas kelihatan di kegelapan langit berserta bunyi ledakan yang kuat.

Kementerian Luar mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden itu.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan agar bertenang dan mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi kedutaan di Riyadh serta Konsulat Jeneral di Jeddah,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Wisma Putra berkata serangan Yaman itu merupakan pencabulan terang-terangan ke atas kedaulatan Arab Saudi dan merupakan ancaman besar kepada keamanan serta keselamatan rantau dan global.

Untuk kecemasan atau maklumat lanjut, rakyat Malaysia boleh menghubungi kedutaan di Jeddah di Diplomatic Quarter, P.O. Box 94335 11693 Riyadh atau menghubungi talian 00 966 11 488 7098 / 00 966 11 488 71 dan e-mel: mwriyadh@kln.gov.my

Selain itu, pertanyaan juga boleh dimajukan kepada pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di Lot 241, Al-Mualiffin Street, Al Rehab District 21421 Jeddah atau melalui talian 0096612 6727740 / 0096612 6728019 atau e-mel mwjeddah@kln.gov.my.

sumber – MalaysiaKini