Menjadikan ‘pelanggaran hak asasi manusia’ yang mengejutkan ke atas etnik muslim Rohingya, pihak berkuasa kota ini bakal membatalkan anugerah dan penghormatan yang diberikan kepada pemimpin Myanmar.

Anggota City of London Corporation (CLC) – agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kewangan dan sejarah London – sudah memulakan proses membatalkan anugerah kebebasan yang diberikan kepada Aung San Suu Kyi pada 2017.

“City of London Corporation mengutuk pelanggaran hak asasi manusia yang mengejutkan dilakukan Myanmar terhadap etnik muslim Rohingya.

“Kami telah menulis surat kepada duta Myanmar menyatakan kebimbangan berhubung situasi semasa di negara itu,” kata CLC dalam kenyataan, semalam.

CLC juga berkata, mereka akan menulis surat kepada Suu Kyi untuk memberitahunya mengenai langkah membatalkan anugerah itu.

Suu Kyi, penerima Anugerah Nobel Keamanan, dituduh tidak mempedulikan penghapusan etnik Rohingya di Myanmar. Tindakannya berdiam diri terhadap tindakan rejim Myanmar itu menyebabkan dia dikritik di seluruh dunia.

Rohingya, yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai manusia paling teraniaya di dunia, berdepan ancaman diserang dan penghapusan oleh rejim Myanmar sejak pembunuhan beramai-ramai pada 2012.

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 etnik Rohingya, terutama kanak-kanak dan wanita, menjadi pelarian dengan menyeberangi sempadan ke Bangladesh, selepas rejim Myanmar melancarkan penghapusan etnik muslim pada Ogos 2017.

Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 etnik muslim Rohingya dibunuh oleh tentera rejim Myanmar, kira-kira 34,000 lagi dicampak ke dalam api dan 114,000 dipukul. – Agensi