TEL AVIV: Lintasan sempadan dengan Genting Gaza dibuka separa pada Selasa selepas penutupan selama dua minggu sebagai ‘hukuman’ ke atas penduduk Palestin kononnya kerana mereka menghantar layang-layang dipasang bom api ke wilayah itu.

Trak membawa bahan api dilihat memasuki Kerem Shalom manakala penghantaran bekalan makanan dan ubat-ubatan yang tidak dikenakan sekatan masih diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, barangan lain masih disekat sehingga layang-layang dan belon dipasang bom api itu tidak lagi memasuki kawasan pertanian Israel.

“Keputusan itu dibuat Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman selepas jumlah layang-layang dan belon membawa bom api semakin berkurangan,” kata pejabat pemimpin itu dalam satu kenyataan.

Menurut Tel Aviv, bom api itu telah menyebabkan ratusan insiden kebakaran sejak April selain mengakibatkan kerugian ratusan ribu dolar.

– Astro Awani