Lebih RM4 bilion nilai kontrak, Memorandum Persefahaman (MoU), Surat Niat (LOI), Surat Setuju Terima (LOA) antara kerajaan dan syarikat berkaitan pertahanan ditandatangani pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di sini, hari ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata kebanyakan kontrak terbabit adalah bagi menguruskan aset sedia ada milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat dan kapal.

Katanya, kerja penyelenggaraan terbabit perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kesiagaan pertahanan negara berada pada tahap optimum.

“Kekangan kewangan kerajaan tidak menghalang kita melakukan kerja MRO ke atas aset sedia yang tempoh perkhidmatannya akan diteruskan mengikut keperluan ATM.

“Pada masa sama, kita turut mempertimbangkan pembelian aset strategik baharu dengan mengambil kira teknologi semasa dan ancaman keselamatan bukan tradisional,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU dan Kontrak LIMA’19.

Antara syarikat yang menandatangani kontrak dan MoU adalah Airod, Boustead Naval Shipyard, Airbus Military, Rosebank Engineering, TAE Gas Turbine, Advances Air Traffic System dan Kongsberg Defence & Aerospace.

Mohamad berkata, kerajaan tidak menetapkan jangka hayat aset ketenteraan milik negara dengan aset seperti pesawat dan kapal akan digunakan mengikut kesesuaian.

“Kita tidak tetapkan sebarang had (jangka hayat), tetapi kerajaan akan ikut pandangan dan nasihat pakar ATM mengenainya.

“Setiap perolehan akan ada had dan apabila sampai masa kita akan lupuskannya,” katanya.