Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, syarikat terlibat antaranya terletak di Seremban, Negeri Sembilan; Johor Bahru, Johor; Sandakan, Sabah dan Terengganu.

Beliau berkata, tindakan tegas itu perlu diambil sebagai komitmen dan keseriusan kerajaan dalam menangani penyelewengan minyak bersubsidi oleh pihak yang hanya mahu mengaut keuntungan.

“Pembatalan lesen ini turut melibatkan rampasan lebih 2,000 meterik tan minyak masak bersubsidi tersebut.

“Kita akan memberikan lesen bekalan minyak syarikat yang dibatal kepada syarikat lain untuk memastikan bekalan minyak masak bersubsidi di sesuatu kawasan itu tidak terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut mengulas mengenai kejayaan KPDNKK Parit Buntar pada 24 Januari lalu yang merampas 3,485 paket mi­nyak masak bersubsidi bernilai RM8,364 yang cuba diselewengkan di sebuah premis di Bagan Serai.

Selain itu, Hamzah berkata, KPDNKK telah mewujudkan pasukan khas untuk membuat risikan sejak enam bulan lalu bagi membanteras kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi di negara ini.

Tambahnya, ketika ini terdapat 270 syarikat pembekal minyak masak bersubsidi yang diberikan kontrak membekal minyak masak di negara ini. – BERNAMA