Laporan: Pasangan China boleh sumbang berbilion, tapi Malaysia dianggap tak maju

Industri kesuburan Malaysia bersedia untuk kempen agreasif bagi menarik pasangan China yang berusaha mendapatkan anak melalui prosedur mahal persenyawaan tabung uji (IVF), selepas Putrajaya mengecualikan visa untuk pelancong perubatan dari negara itu, bulan ini.

Walaupun kadar kejayaan tinggi dan kos murah memberi kelebihan kepada pusat kesuburan tempatan berbanding negara jiran, ramai rakyat China masih beranggapan Malaysia lemah dari segi ekonomi, oleh itu kekurangan kemudahan perubatan canggih yang penting untuk rawatan IVF, lapor South China Morning Post (SCMP).

“Tanggapan pertama mereka ialah pembangunan ekonomi Malaysia tidak baik,” kata jurucakap Tai Orient, sebuah syarikat pelancongan perubatan yang mahu mempromosikan Malaysia kepada bakal ibu bapa China.

“Mereka tanya kami: disebabkan ekonomi mereka tidak sekukuh China, mungkinkah mereka lebih baik dalam IVF? Kami menjelaskan kelebihan Malaysia dengan menunjukkan statistik kadar kejayaan yang tinggi.”

Yang dipertaruhkan ialah wang daripada menjalankan perniagaan dengan anggaran 40 juta wanita berusia lebih 40 tahun di China cuba mengandungkan anak ke-2.

Menurut Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), kadar kejayaan IVF di Malaysia antara tertinggi di dunia.

“Purata kadar kejayaan dunia ialah 50%, tetapi kadar kejayaan Malaysia kira-kira 65% secara purata,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli kepada SCMP.

Memetik statistik rasmi China, akhbar itu melaporkan kadar kesuburan pasangan muda China meningkat daripada 3% sejak 2 dekad lalu kepada kira-kira 15% pada 2016.

China yang mempunyai populasi paling banyak di dunia, pernah melaksanakan dasar perancangan keluarga ketat di mana pasangan berkahwin hanya dibenarkan mempunyai seorang anak, tetapi kelonggaran diberikan kepada mereka untuk memenuhi tradisi Cina mempunyai anak lelaki, jika anak pertama ialah perempuan.

Pasangan China dibenarkan mempunyai anak ke-2 selepas dasar seorang anak dihentikan secara rasmi pada 2015.

Menyedari kepentingan perubahan dasar, hospital swasta dengan perkhidmatan IVF di Malaysia melengkapkan diri untuk menarik pasangan China yang ingin mempunyai anak ke-2.

Sherene berkata, selain pegawai perubatan di Malaysia yang fasih berbahasa Mandarin, Kantonis atau Hokkien, rawatan IVF di Malaysia juga lebih murah daripada negara lain, dengan AS$5,000 (kira-kira RM20,000) setiap kitaran.

Ia lebih murah sedikit daripada 40,000 yuan (RM23,693) yang dikenakan di China, atau lebih 3 kali ganda kos untuk suami isteri mendapatkan perkhidmatan itu di Amerika Syarikat.

Namun, reputasi Malaysia di kalangan orang China masih menjadi halangan.

SCMP memetik seorang wanita berusia 37 tahun yang berkerjaya di Shanghai berkata, beliau tidak tahu “prosedur IVF canggih” di Malaysia kerana menganggap Malaysia “tidak maju”.

Tiffany Xiong dan suaminya cuba mendapatkan rawatan itu di sebuah hospital Texas, tetapi gagal dalam kitaran pertama.

“Saya mempertimbangkan melakukannya di Shanghai atau AS lagi atau di Jepun, tetapi tentunya bukan di Malaysia,” katanya kepada akhbar itu.

– FMT