Laporan: China tahu lokasi Jho Low, tetapi beliau bukan ‘percuma’ untuk Malaysia

Permintaan Singapura dan Malaysia supaya Low Taek Jho dihantar pulang tidak banyak mendapat respons daripada pihak berkuasa China menyebabkan polis di kedua-dua negara percaya Beijing melindungi ahli perniagaan yang diburu itu, lapor akhbar Wall Street Journal (WSJ).

WSJ berkata, Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low mungkin menjadi “senjata” China sewaktu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berlepas hari ini ke negara tanah besar itu untuk lawatan rasmi yang ditunggu-tunggu setelah puluhan bilon ringgit pelaburan negara tersebut dihentikan oleh kerajaan baru pimpinan pemimpin veteran itu.

WSJ, memetik sumber yang “tahu” tentang pergerakan Low berkata, ahli perniagaan yang dikehendaki berhubung siasatan rasuah berjumlah puluhan bilion ringgit yang dikaitkan dengan 1MDB itu kini hidup bebas di China walapun Nota Merah Interpol dikeluarkan terhadap beliau.

Polis Malaysia memburu Low sejak berlakunya pertukaran kerajaan Mei lepas.

WSJ melaporkan pada Jun lalu, polis Malaysia mengantar pasukan untuk menjejak Low di Hong Kong dan Macau.

“Dalam kedua-dua keadaan, pihak berkuasa tempatan memberitahu Low telah keluar dari negara mereka,” kata akhbar itu yang memetik polis Malaysia. “Beberapa pegawai Malaysia berkata mereka percaya Low kini berlindung di tanah besar China setelah membantu negara itu dalam urus niaga dan hubungan diplomatik sewaktu skandal 1MDB meletus.”

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun beberapa kali berkata polis Malaysia tidak tahu lokasi Jho Low, walaupun terdapat laporan mengatakan beliau berada di Macau.

“Ada yang berkata dia berada di China, jadi kami hubungi rakan sejawatan di China, tetapi mereka juga tidak dapat menjejaknya,” Fuzi memberitahu pemberita Isnin lepas.

Kerajaan Malaysia menarik balik pasport antarabangsa Low. Beliau didakwa menggelapkan puluhan bilion wang daripada syarikat pelaburan kerajaan 1MDB. Sebuah kapal layar mewah berharga RM1 bilion, Equanimity, yang dikaitkan dengan beliau kini ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia sejak awal bulan ini.

FMT