Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville di Kentucky, Amerika Syarikat akan dinamakan sempena peninju legenda, Muhammad Ali yang dilahirkan dan dibesarkan di negeri tu.

Lembaga Lapangan Terbang Wilayah Louisville hari ini mengundi menukar nama itu kepada ‘Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali’.

Nama itu diubah untuk memberi penghormatan kepada ahli sukan dan aktivis kemanusiaan berkenaan yang dipilih sebagai Personaliti Sukan untuk abad ini oleh BBC.

Bagaimanapun, kod semasa lapangan terbang – SDF – dikekalkan.

Datuk Bandar Louisville, Greg Fischer ketika membuat pengumuman penukaran nama ‘Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali‘
Akhbar Courier-Journal melaporkan, Datuk Bandar Louisville, Greg Fischer berkata, Muhammad Ali hanya mempunyai satu kampung halaman dan ia adalah bandar besar, Louisville.

“Muhammad menjadi salah satu daripada orang yang paling terkenal pernah hidup di muka bumi dan meninggalkan warisan kemanusiaan dan olahraga yang telah memberi ilham kepada berbilion orang,” katanya.

Juara dunia tiga kali itu, meninggal dunia pada 4 Jun 2016 ketika berusia 74 tahun selepas mengalami penyakit pernafasan, Beliau juga menghidap Parkinson selama bertahun-tahun. – Agensi