Bergolaknya Umno dengan isu segelintir Ahli Parlimennya keluar parti, pimpinan parti diseru membuat rombakan kecil di peringkat kepimpinan tertinggi dengan mewujudkan jawatan Ketua Umum.

Dengan struktur itu, Ketua Umum Umno akan mewujudkan satu gandingan kepimpinan bersama Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mendepani cabaran politik serta meneruskan kesinambungan perjuangan parti itu.

Presiden Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Imran SN Syed Abdul Aziz berkata, individu atau figura dilihat paling tepat menggalas jawatan berkenaan pula adalah bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

“(Datuk Seri) Najib Razak (pula) harus dijadikan sebagai Ketua Umum Umno kerana beliau seorang cekal, berjiwa besar, mesra rakyat dan prihatin terhadap akar umbi.

“Gandingan kedua-dua (Najib dan Zahid) mereka harus cekal dan berani dalam membuat apa sahaja keputusan demi kebaikan dan kepentingan parti, semangat yang ada di dalam diri kedua-dua pemimpin ini mampu mengembalikan semangat perjuangan peringkat akar umbi.

“Kedua-dua pemimpin jika bergabung maka Umno akan terus utuh, maka selaku wakil NGO dan ahli parti Umno, menyeru agar Ketua-ketua Bahagian Umno akan mendukung memorandum cadangan ini, iaitu (Datuk Seri) Najib Razak dilantik menggalas jawatan Ketua Umum Umno manakala (Datuk Seri) Ahmad Zahid (Hamidi) kekal selaku presiden,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Muhammad Imran turut menyeru Majlis Tertinggi Umno bermesyuarat bagi melaksanakan proses pemutihan dengan menyingkirkan mana-mana ahli yang cuba menjatuhkan pimpinan hari ini.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan dengan tegas tanpa mengira sesiapa pun termasuk bertindak menyingkirkan bekas Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin Abu Bakar, jika perlu.

“Pada masa mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu perlu menyingkirkan mana-mana ahli yang menggangu gugat kepimpinan Umno yang dipilih oleh ahli akar umbi, termasuk menyingkirkan Khairy Jamaludin,” katanya. – Sinar Harian