Lancar projek RM2 bilion

Kuala Lumpur: SkyWorld Development Group (SkyWorld), pemaju kediaman bertingkat di Kuala Lumpur bakal melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion tahun ini.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan SkyWorld Datuk Ng Thien Phing berkata, projek yang diperkenalkan itu terdiri daripada pembangunan kediaman bertingkat tinggi, hab komersial serta baki fasa rumah mampu milik SkyAwani 3 yang diumumkan akhir tahun lalu.

Beliau berkata, SkyAwani 3 adalah projek perumahan mampu milik dengan GDV RM600 juta, manakala The Hub adalah pejabat strata komersial yang dibina di Setapak.

 “Bagi SkyMeridien yang terletak di Bandar Sentul, projek kediaman mewah itu mempunyai 780 unit rumah dengan GDV RM497 juta dengan kos pembangunan kasar (GDC) RM420 juta.

“Projek seterusnya yang akan dilancarkan tahun ini ialah The Valleys, projek kediaman dengan 1,309 unit di Setiawangsa dengan GDV RM750 juta dan GDC RM650 juta.

“Kami juga merancang pembangunan kediaman mampu milik SkyAwani 4, bagaimanapun projek itu hanya dilancarkan pada 2019,” katanya.

SkyWorld adalah pemaju yang juga penyumbang terbesar kepada projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan siri rumah mampu miliknya, SkyAwani memenuhi piawaian Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (QLASSIC).

Ng berkata, meskipun sentimen pasaran yang perlahan bagi sektor hartanah negara khususnya kediaman bertingkat tinggi serta isu bekalan berlebihan, pihaknya yakin projeknya mendapat perhatian pembeli.

%d bloggers like this: