Sebuah bandar di wilayah Xinjiang mengarahkan individu yang terlibat dengan ekstremisme, keganasan dan gerakan pemisah yang mempunyai hubungan dengan kumpulan militan luar negara supaya tampil menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Kerajaan bandar Hami menerusi akaun media sosial mereka, semalam memaklumkan, mereka yang menyerah diri dalam tempoh 30 hari dan mengaku melakukan kesalahan mereka akan dilayan dengan baik dan mungkin tidak akan dihukum.

Sejak beberapa bulan lalu, Beijing menerima bantahan aktivis, ahli akademik dan kerajaan asing berhubung penahanan besar-besaran dan pengawasan ketat ke atas minoriti Islam Uighur dan kumpulan etnik lain yang tinggal di Xinjiang.

Ogos lalu, panel hak asasi manusia PBB menerima banyak laporan boleh dipercayai yang mendakwa lebih sejuta penduduk Uighur dan minoriti lain ditahan secara besar-besaran dalam kem pengasingan rahsia di wilayah itu.

China bagaimanapun menafikan perkara itu dan menyatakan ia kononnya pendidikan semula politik.

Selain penahanan itu, Beijing juga didakwa mengehadkan kebebasan agama di Xinjiang.

Bulan lalu, Urumqi melancarkan kempen menyasarkan produk halal seperti makanan dan ubat gigi kononnya sebagai langkah membendung sekularisme. – Reuters