Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran Bangladesh bakal berdepan risiko ‘kiris baharu’ jika meneruskan rancangan penempatan semula pelarian Rohingya di pulau tidak diduduki yang terdedah kepada taufan.

Wakil Khas Hak Asasi PBB berkaitan Myanmar, Yanghee Lee, yang melawat Bhasan Char baru-baru ini, memberitahu Majlis Hak Asasi PBB di Geneva semalam, beliau tidak pasti pulau yang terletak di Teluk Benggal itu boleh dihuni.

Beliau turut memberi amaran perancangan penempatan semula tanpa persetujuan pelarian, berpotensi mencetuskan krisis baharu.

Kumpulan penyokong Rohingys pula berkata, pelarian akan terperangkap di Bhasan Char, pulau berlumpur dan tanah rendah yang mudah dinaiki air ketika musim monsun.

Lebih 730,000 etnik muslim Rohingya bersesak di kem pelarian sekitar Bangladesh selepas melarikan diri daripada pembunuhan dan penghapusan etnik besar-besaran di Myanmar sejak lewat 2017.

Di sebalik penentangan, kerajaan Bangladesh berharap lebih 100,000 etnik Rohingya akan dipindahkan ke pulau itu, dengan alasan bagi mengurangkan beban dan tekanan di kem pelarian sedia ada.

Aktivis Rohingya, Nay San Lwin berkata, beliau percaya hanya jalan paksaan sahaja membolehkan pelarian berkenaan berpindah ke pulau itu.

“Semua yang ada di dalam kem pelarian itu pasti menolak. Tiada siapa yang mahu ditempatkan di Bhasan Char,” kata San Lwin.

Kerajaan Myanmar diketuai penerima Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, menafikan kerajaannya mengetepikan persoalan mengenai situasi hak asasi manusia di negara itu.

Bangladesh sebelum ini menyenaraikan beberapa jurutera British dan China bagi membantu membuat persediaan penempatan di Bhasan Char.

Pembabitan syarikat kejuruteraan HR Wallingford dengan projek itu mencetuskan kritikan aktivis kemanusiaan Britain. – Agensi