Korea Selatan semalam melancarkan reviu armada antarabangsa yang membabitkan 13 negara, selepas Jepun menarik diri untuk membantah tuntutan Seoul agar ia menurunkan bendera tentera laut ‘Matahari Terbit’ yang kontroversi dari kapal perang Tokyo.

Acara selama lima hari di perairan pulau selatan Jeju itu pada mulanya melibatkan tentera laut Jepun, yang menimbulkan kemarahan dan mencetuskan siri protes anti-Tokyo apabila ia merancang untuk mengibarkan bendera tersebut.

Lambang itu sudah menjadi bendera bagi Tentera Pertahanan Diri Maritim Jepun sejak 1954, tetapi dilihat di kebanyakan negara di timur Asia sebagai simbol kekejaman tenteranya sewaktu Perang Dunia Kedua.

Rakyat Korea masih membenci penjajahan Jepun pada 1910-45 di semenanjung Korea, dan kedua-dua negara jiran itu – mereka adalah sekutu Amerika Syarikat – sering berbalah mengenai isu sejarah dan perebutan wilayah ke atas pulau kecil yang dikuasai Seoul dan turut dituntut oleh Tokyo.

Tokyo pada minggu lepas menarik diri daripada reviu berkenaan selepas tentera laut Seoul meminta semua negara peserta untuk mempamerkan hanya bendera kebangsaan mereka dan bendera Korea Selatan sahaja di atas kapal mereka.

Tokyo menolak permintaan itu, dengan hujah bahawa ia adalah wajib untuk menerbangkan bendera ‘Matahari Terbit’ di bawah undang-undang Jepun.

“Acara bermula pada pagi tadi mengikut jadual,” kata seorang jurucakap tentera laut Korea Selatan kepada AFP.

Sebanyak 13 negara termasuk Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS), Rusia dan India mempamerkan 41 kapal perang – termasuk kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan – dan lebih 20 pesawat tentera di acara pada tahun ini, dan pertunjukan utama akan berlangsung pada hari ini (Khamis).

Rusia dan AS telah menghantar kontinjen terbesar, masing-masing dengan tiga kapal perang, dan kontinjen Moscow turut disertai kapal peluru berpandu Varyag.

China telah menghantar wakil delegasi tetapi tiada kapal. — AFP